Friday, 21 October 2011

Fakta Mengenai Demam Kuning

Demam Kuning/Jaundis Pada Bayi 
Oleh : Mohamed Yosri Mohamed Yong
     Demam kuning sering terjadi kepada bayi baru lahir. Ramai yang menganggap ini adalah perkara biasa. Demam kuning yang juga dikenali sebagai penyakit jaundis sebenarnya boleh membawa kematian atau kecacatan seumur hidup jika tidak dirawat dari awal. Oleh itu ibu bapa perlu tahu tentang kaedah paling berkesan untuk merawat penyakit ini dan bukan bergantung semata-mata dengan rawatan tradisional.

     Penyakit demam kuning di kalangan bayi adalah merupakan perkara biasa pada masa kini. Di anggarkan 60 hingga 70 peratus daripada bayi yang baru lahir mengalami penyakit demam kuning atau yang juga dikenali sebagai jaundis. Penyakit demam kuning atau jaundis merujuk kepada bayi yang mempunyai simptom seperti bahagian putih mata dan kulit yang bewarna kuning-kekuningan. Warna kuning-kekuningan ini dapat dilihat dengan lebih jelas apabila kulit bayi ditekan lembut, ia kelihatan kekuningan. Ujian ini boleh dilakukan pada semua bangsa. Penyakit demam kuning ini lebih kerap berlaku di kalangan bayi pra-matang (tidak cukup bulan) berbanding bayi yang cukup bulan.
Bayi yang di bawah cahaya lampu ungu (ultraviolet)

     Warna kuning ini disebabkan oleh bahan kumuhan (metabolit) yang dinamakan bilirubin dalam darah. Bilirubin merupakan hasil penguraian sel darah merah di dalam darah. Penguraian sel darah merah merupakan proses yang dilakukan oleh tubuh badan manusia apabila sel darah merah telah berusia 120 hari. Hasil penguraian sel darah merah merupakan bilirubin yang diproses oleh hati (hepar) dan disingkir dari badan melalui najis dan air kencing. Ketika bayi berada dalam kandungan, sel darah merah ini akan dikeluarkan melalui uri (placenta) dan diuraikan oleh hati ibu.

Paras bilirubin pada bayi normal boleh meningkat disebabkan oleh sebab-sebab berikut :
 
a) Sel darah bayi mempunyai tempoh hayat yang lebih pendek.
b) Lebam pada badan bayi yang disebabkan dalam proses kelahiran menyebabkan banyak sel darah merah rosak dan perlu diganti.
c) Bayi pra-matang tidak mempunyai organ yang matang. Hati tidak dapat memproses bilirubin dengan cepat. Usus mungkin tidak berfungsi sepenuhnya, terutama jika mereka sakit dan tidak disusukan.

Darah ibu dan bayi tidak sesuai. (ABO incompatibility)
Ibu mengidap kencing manis (maternal diabetes)
Penggunaan oxytocin ketika proses kelahiran.
Bayi lelaki Asia mempunyai peratusan demam kuning yang lebih tinggi (kerap).
Keturunan.

     Penyakit demam kuning mula dikesan pada hari kedua atau ketiga selepas kelahiran. Ia mula kelihatan dari kepala dan turun kebawah. Bayi demam kuning kelihatan kuning pada bahagian muka, diikuti bahagian dada, perut, dan akhirnya dibahagian kaki. Warna kekuningan juga dapat dilihat ada bahagian mata putih bayi. Pemeriksaan bayi untuk penyakit demam kuning patut dibuat dalam cahaya matahari ataupun dibawah lampu panjang putih (fluorescent). Bayi perlu dibawa berjumpa doktor sekiranya demam kuning dikesan. Di hospital atau klinik, paras bilirubin dalam darah boleh diuji melalui contoh darah. Tahap serius ditentukan dengan menimbangkan umur dan faktor perubatan yang lain. Jumlah bilirubin yang kecil atau sederhana tidak merbahaya kepada bayi. Bagaimanapun paras bilirubin yang tinggi dan lama boleh memberi kesan pada pendengaran dan otak bayi. Doktor akan memberikan rawatan yang sesuai agar paras bilirubin tidak mencapai paras merbahaya.

     Ibu bapa perlu merujuk kepada doktor dengan segera sekiranya demam kuning dikesan dalam tempoh 24 jam kelahiran, yang membabitkan bahagian tangan dan kaki, atau bayi demam melebihi 37.8 darjah Selsius (100 darjah Fahrenheit), atau bayi kelihatan lemah dan tidak sihat. Bagi bayi bawah 5 hari, suhu dalam dan luar badan perlu diperiksa. Doktor juga perlu dirujuk sekiranya warna kuning semakin ketara selepas 7 hari, demam kuning masih kekal selepas 15 hari, bayi tidak bertambah berat badan, atau anda merasa bimbang mengenai kekuningan pada kulit bayi.

Bayi yang menghidap demam kuning perlu dipastikan agar tidak mengalami kekeringan (dehydration) akibat pengambilan cecair yang tidak mencukupi. Antara faktor lain yang meningkatkan risiko kekeringan adalah bayi pertama, bayi yang tidak pandai menghisap, puting susu tenggelam (inverted nipples), pembedahan caesarean, penggunaan ubat penahan sakit (analgesics) dan bayi yang tidak matang dengan daya menghisap yang lemah.

Jenis-jenis Demam Kuning :

Terdapat beberapa jenis Demam Kuning. Antara yang biasa didapati adalah :-

     Demam kuning normal (physiological jaundice). Demam kuning normal biasa berlaku pada bayi baru lahir. Ini disebabkan bayi yang baru dilahirkan, hati bayi kadang-kala tidak mampu memproses bilirubin dari sel darah merah yang diuraikan disebabkan hati bayi tersebut masih belum matang atau disebabkan kadar penguraian sel darah merah yang cepat. Keadaan ini meningkatkan kadar bilirubin dalam darah dan seterusnya menyebabkan warna kuning-kekuningan pada kulit dan putih mata bayi. Ia mula kelihatan 2 - 4 hari pertama dan akan hilang sepenuhnya selepas 1 hingga 2 minggu.

     Demam kuning pra-matang. Demam kuning pra-matang disebabkan oleh hati bayi yang masih belum terbentuk sepenuhnya mengambil masa yang lebih lama untuk memproses jumlah bilirubin yang terhasil.

     Demam kuning susu ibu (Breast milk jaundice). Demam kuning susu ibu hanya berlaku dalam 1% - 2% kes ibu yang menyusu. Demam kuning susu ibu disebabkan bahan yang terhasil dalam susu ibu yang menghalang penyingkiran bilirubin melalui usus. Ia bermula pada hari ke 4 hingga hari ke 7 dan menghilang selepas 3 hingga 10 minggu. Pihak doktor akan menentukan sekiranya ini berlaku, biasanya sekiranya demam kuning berterusan melebihi 7 hari. Ibu boleh kembali menyusukan bayi selepas bayi sembuh daripada demam kuning.

     Ketidaksuaian kumpulan darah antara ibu dan emak. Sekiranya bayi mempunyai darah yang berbeza dengan ibu, susu ibu mungkin mempunyai antibodi yang memusnahkan darah bayi. Ini akan meningkatkan paras bilirubin dalam darah bayi. Ia biasanya mula dikesan pada hari pertama. Masalah Rh pernah merupakan bentuk demam kuning yang teruk tetapi boleh dielakkan dengan suntikan imunisasi Rh (Rh immune globulin) pada ibu dalam tempuh 72 jam selepas kelahiran. Suntikan ini menghalang penghasilan antibodi yang boleh membahayakan bayi.

     Selain itu terdapat juga komplikasi seperti kekurangan enzim G6PD, jangkitan kuman, bayi pra-matang, dan lain-lain lagi. Secara semula jadi, penyakit demam kuning normal (physiological jaundice) bermula pada penghujung hari kedua atau ketiga selepas bayi dilahirkan. Paras bilirubin dalam darah akan terus meningkat sehingga bayi mencapai umur 5-6 hari sebelum paras bilirubin menurun dan akhirnya menghilang apabila usia bayi mencecah 10 hari.

     Pada bayi yang mengalami demam kuning atau jaundis biasa rawatan fototerapi akan diberikan bergantung kepada faktor-faktor seperti umur bayi, berat badan bayi, paras bilirubin dalam darah, dan lain-lain. Rawatan fototerapi menggunakan cahaya lampau ungu (ultraviolet) atau selimut yang menghasilkan cahaya untuk membantu tubuh bayi menghapuskan bilirubin dengan mengubah bilirubin kepada bentuk yang lebih mudah bagi bayi menyingkirkannya daripada tubuhnya.

     Tujuan rawatan fototerapi ialah untuk mengawal kenaikan bilirubin agar ia tidak mencapai pada tahap merbahaya dan menjejaskan otak bayi. Jangka masa rawatan fototerapi bergantung kepada paras bilirubin dalam darah bayi. Sekiranya paras bilirubin dalam darah terlalu tinggi, darah bayi mungkin perlu ditukar dengan darah penderma yang bersesuaian (exchange transfusion). Ketika rawatan fototerapi bayi akan ditanggalkan pakaiannya dan mata bayi akan ditutup bagi melindungi mata bayi daripada cahaya yang berlebihan.

     Sepanjang masa bayi mendapat rawatan untuk demam kuning, adalah penting bayi diberi susu sebanyak mungkin untuk mengelakkan kekeringan dan juga untuk menurunkan paras bilirubin dalam darah. Lebih kerap bayi menyusu lebih cepat bilirubin dikeluarkan daripada badan bayi melalui najis. Rawatan traditional seperti menjemur bayi dibawah sinar matahari pagi tidak lagi sesuai. Ini disebabkan perbuatan ini boleh menyebabkan bayi kekeringan dan dengan itu meningkatkan lagi kadar bilirubin dalam darah bayi. Selain itu cahaya yang terik boleh memberi kesan kepada mata bayi yang masih kecil itu.

     Ibu bapa digalakkan membawa bayi mereka berjumpa doktor sekiranya bayi kelihatan kekuning-kuningan pada hari pertama walaupun hanya pada bahagian muka. Pemeriksaan juga perlu dilakukan sekiranya bayi masih menunjukkan tanda-tanda demam kuning selepas 10 hari dilahirkan atau sekiranya terdapat mereka yang menghadapi G6PD dalam keturunan mereka. Selepas bayi sembuh daripada demam kuning, amat jarang-jarang sekali demam kuning berulang.

Monday, 17 October 2011

Pengurusan Stres di tempat Kerja

Pengurusan Stress..

     Stress atau tekanan perasaan adalah tindakbalas tubuh seseorang dalam menghadapi pelbagai cabaran dan tuntutan dalam kehidupan.      
     Tuntutan dan cabaran tersebut mungkin merupakan
perkara-perkara yang datang dari luar, atau mungkin juga datang dari fikiran diri sendiri (misalnya: bagaimana penilaian terhadap diri sendiri). 
     Stress seringkali digambarkan sebagai sesuatu perkara yang buruk. Namun dari perspektif lain, sesungguhnya setiap orang memerlukan sedikit tekanan agar mereka memiliki hidup yang lebih baik.

PUNCA STRESS DI TEMPAT KERJA
Jenis kerja
- kerja yang menjemukan atau kerja yang berulang-ulang
- terlalu banyak kerja dan kurang masa

Tanggungjawab
- tiada tanggungjawab yang jelas (konflik tugas)
- bertanggungjawab terhadap kerja lain selain kerja sendiri

Hubungan rakan sejawat
- komunikasi tidak berkesan
- gangguan kerja (bullying) dan gangguan seksual

Persekitaran yang tidak selesa
- bising, panas dan sempit

Pengurusan dan organisasi
- budaya menyalahkan pekerja
- tiada sokongan terhadap kerja seperti peralatan yang tidak lengkap
kenderaan, kurang penghargaan dan tiada insentif
- kurang sokongan untuk meningkatkan kerjaya seperti tiada kursus dan sukar untuk naik pangkat
- tiada penglibatan dalam membuat keputusan atau polisi

Ketidakseimbangan kerjaya dan rumahtangga

Gejala Stress
8 gejala atau tanda-tanda stress di tempat kerja yang dapat disimpulkan iaitu:
a) Prestasi kerja menurun.
b) Semangat dan tenaga untuk bekerja menurun.
c) Komunikasi dengan orang lain terganggu.
d) Murung.
e) Cepat naik angin atau marah-marah.
f) Kurang potensi pemikiran yang bersifat kreatif dan kritis.
g) Mengambil keputusan secara mendadak.
h) Melakukan perkara selain kerja seharian seperti melepak

KESAN STRESS
Stress akan menjejaskan kesihatan dan mengubah tingkahlaku anda kepada tingkahlaku yang negative.

Ia boleh menyebabkan :
- sakit kepala, keletihan, berdebar-debar, masalah seksual
- gelisah, cepat marah, kerisauan berlebihan, hilang tumpuan dan motivasi
- tidak hadir kerja, merokok, mabuk, menyalahgunakan dadah
Kesan jangka panjang
- hipertensi, penyakit jantung koronari dan ulser peptic
- kemurungan

Cara mengatasi
3 pendekatan yang dapat dipraktikkan untuk mengatasi stress di tempat kerja iaitu:

a) Pendekatan rohani.
· Solat dengan khusyuk.
Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:
Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat. Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan. Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.
(Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).

· Bacalah al- quran kerana sesungguhnya al-quran adalah penawar bagi hati.
Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?”
(Surah Muhammad: Ayat 24)

· Sentiasa senyum.
Dari Abu Dzar ra., Rasulullah SAW bersabda :
"Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah"
(Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

· Bersendirian/ bermuhasabah diri.
Hadis Qudsi yg bermaksud, "Barangsiapa yang tidak redha dengan
qadha'Ku(ALLAH), dan tidak bersyukur dengan pemberianKu, dan tidak sabar dengan ujianKu, maka carilah Tuhan selainKu."

· Sentiasa berzikir.
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah! Dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia."
(QS: Ar-Raad: Ayat 28)

"Ketahuilah dengan menyebut nama Allah itu dapat menenangkan hati."
[Surah Ar-Ra'adu : ayat 28]

· Berkasih sayang.
Hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda:
"Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa mimbar dari cahaya, para nabi dan shuhada yang menyukai mereka "
(riwayat Attarmizi)
Waallahu’lam…….

b) Pendekatan fizikal
· Tarik nafas dan bertenang.
· Bersenam.
· Mengurut.
· Hobi.
· Berehat sebentar.

c) Pendekatan individu/ organisasi
· Meluangkan masa bersama keluarga (bercuti).
· Berbincang bersama isteri atau suami, teman, rakan sekerja, ketua jabatan atau keluarga.
· Berjumpa kaunselor, ustaz atau ustazah, atau doctor untuk mendapatkan nasihat.